Related Posts with Thumbnails

Tuesday, February 2, 2010

Sathianathan enggan ambil kisah

KOTA BHARU – Jurulatih pasukan bola sepak Kelantan, B. Sathianathan tidak peduli dengan asakan pihak tertentu yang didakwa cuba menggulingkannya daripada skuad The Red Warriors, yang dibimbingnya sejak setahun lepas.



Apa yang penting bagi dirinya ialah terus mendapat kepercayaan anak buahnya dan pihak pengurusan, untuk memastikan pasukan mencipta kejayaan dalam Liga Super musim ini, selepas berjaya membawa perubahan pada musim lalu.



“Saya akan membuktikan keupayaan dan tidak akan layan segala kerenah yang boleh menjejaskan pretasi saya sebagai jurulatih, kerana azam saya ke sini untuk membimbing pasukan Red Warriors hingga ke mercu kejayaan,” katanya semalam.



Kelmarin, Presiden Bola sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas mengenai desas-desus wujud komplot untuk menggulingkan Sathianathan berkata beliau, berpuas hati dengan prestasi skuad Red Warriors yang berjaya menduduki tempat keempat dalam saingan Liga Super setakat ini.



Beliau menolak dakwaan bahawa mutu permainan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini merosot, sejak dikendalikan oleh Sathianathan.



Sathianathan, yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, kemampuan dan kelemahan jurulatih dan pemain, bukan boleh diukur pada satu atau dua perlawanan sahaja, tetapi prestasi mereka secara keseluruhan. – Bernama

‘Saya tak layan’

Kosmo Online
02/02/10




“SAYA tidak layan ‘serangan’ pihak tertentu yang mahu menggulingkan saya.”
Itulah pendirian jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mengenai asakan pihak tertentu yang didakwa cuba menyingkirkannya.



Menurutnya, apa yang penting baginya ialah terus mendapat kepercayaan daripada anak buahnya dan pihak pengurusan bagi memastikan pasukan Kelantan terus meraih kejayaan dalam Liga Super musim ini.



Musim lalu, Sathianathan berjaya membawa perubahan kepada skuad Kelantan dengan membawa mereka mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2009.



“Saya akan membuktikan keupayaan dan tidak akan layan segala kerenah yang boleh menjejaskan prestasi saya sebagai jurulatih kerana azam saya ke sini ialah untuk membimbing pasukan The Red Warriors hingga ke mercu kejayaan,” katanya semalam.



Kelmarin, Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa ketika mengulas mengenai desas-desus wujud komplot untuk menggulingkan Sathianathan berkata, beliau berpuas hati dengan prestasi pemain The Red Warriors yang berjaya menduduki tempat keempat dalam saingan Liga Super setakat ini.



Beliau menolak dakwaan bahawa mutu permainan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Super musim ini merosot sejak dikendalikan oleh Sathianathan.



Sathianathan, yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, kemampuan dan kelemahan jurulatih dan pemain, bukan boleh diukur pada satu atau dua perlawanan sahaja tetapi prestasi mereka secara keseluruhan.

Monday, February 1, 2010

Sathia lega, Kelantan bangkit

Utusan Malaysia Online
01/02/10

KOTA BHARU - Jurulatih Kelantan, B. Sathinathan kembali menarik nafas lega selepas pasukannya melakar kemenangan ketiga di laman sendiri, kelmarin.



Sathianathan berkata, kemenangan 3-1 ke atas Pulau Pinang, yang meletakkan pasukan itu di tangga keempat liga, memberikan kelegaan seketika buatnya ketika perjalanan liga masih jauh.



"Walaupun kami nampak tertekan selepas dibolosi awal pasukan pelawat, pemain berjaya mengatasi tekanan, dan menjaringkan gol pada separuh masa pertama.



"Selepas gol pertama jaringan Nor Shahrul Idlan, kami mengusai permainan dan hasilnya, kami menjaringkan dua lagi gol pada separuh masa kedua," katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.



Sathianathan gembira dengan peningkatan yang mula ditunjukkan oleh barisan serangan Kelantan yang membuktikan mereka sudah bersedia memburu kemenangan demi kemenangan.



"Walaupun kita gagal menjaringkan gol ketika menentang Perak Selasa lalu, malam ini kita berjaya menjaringkan gol.



''Ini membuktikan bahawa jentera serangan sudah menemui sentuhan penyudah," ujarnya.



Ketika ditanya mengenai keputusannya menggantikan Halim Napi, Sathianathan berkata, penjaga gol veteran itu terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan di separuh masa pertama, bukannya disebabkan oleh strategi.



"Jadi saya memasukkan Syed Adney bagi menggantikan Halim.



''Secara keseluruhan saya berpuas hati persembahan yang dipamerkan oleh Halim.



''Syed Adney sudah mendapat rentak serta berjaya melupakan kesilapan sebelum ini dan ia merupakan satu perkembangan positif buat dirinya dan pasukan," ujarnya.



Pada perlawanan kelmarin, Kelantan bangkit dari ketinggalan satu gol dan berjaya menewaskan Pulau Pinang 3-1.



Penyerang sensasi kebangsaan, Nor Shahrul Idlan Talaha membuktikan ketajaman penyudah apabila menjaringkan hatrik pertamanya musim ini untuk membantu Kelantan meraih tiga mata berharga di laman sendiri.

Annuar: KAFA tidak akan tunduk

Harian Metro Online
01/02/10


ANNUAR mempertahankan pendirian KAFA untuk tidak tunduk dengan ancaman pihak-pihak tertentu yang berniat mahu memusnahkan skuad Kelantan.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) tidak akan tunduk dengan sebarang tekanan untuk memecat jurulatih ataupun pemain mereka berikutan prestasi kurang konsisten yang dipamerkan.



Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, proses menukar ganti jurulatih atau pemain bukan semudah yang disangka dan sasaran masih jauh untuk menilai prestasi keseluruhan pasukan.



Menurutnya, The Red Warriors kini masih berada di landasan yang baik dalam memburu kejuaraan kerana mereka hanya dipisahkan empat mata dengan pendahulu liga.



"Bola sepak adalah suatu yang dinamik dan kita mempunyai sasaran. KAFA tidak akan bertindak mengikut tekanan, buang orang itu dan ini.



"Dalam bola sepak, satu campur satu campur satu adakalanya tidak menjadi tiga. Walaupun kita mempunyai ramai pemain bintang tidak semestinya kita satu pasukan yang kuat kerana dalam bola sepak keputusan adalah di luar jangkaan," katanya ketika ditemui semalam.



Tambahnya, pasukan Kelantan akan kekal sebagai sebuah pasukan dan penilaian akan dibuat selepas kita sampai kepada benchmark yang ditetapkan.



Jelasnya, KAFA tidak akan tunduk dengan 'suara-suara' yang hanya mahu melepaskan perasaan dan mereka-mereka yang tidak tahu masalah yang dialami oleh pihak persatuan dan pasukan.



"Saya fikir kita belum mempamerkan aksi terbaik dan setakat ini pengurusan berpuas hati selepas tujuh perlawanan dengan tiga kemenangan, tiga seri dan satu kalah," ujarnya.



Dalam pada itu, Annuar turut menyarankan agar semua pihak termasuk kelab penyokong dan bloggers berfungsi dan menjalankan peranan dengan satu matlamat



Katanya, pihak-pihak ini mesti ada satu matlamat yang sama dan tidak boleh bertindak secara berasingan bagi menjamin kelangsungan masa depan bola sepak Kelantan.

-RedWarriorsFC News- ©Template Blogger Green by Dicas Blogger.

TOPO